Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dicabar tampil menafikan dakwaan yang cuba mengaitkan anak lelakinya dengan satu kejadian mencabul seorang gadis bawah umur.
Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek berkata, setakat ini yang membuat penafian adalah Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan bukannya Guan Eng.
Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu tidak benar, Guan Eng yang merupakan seorang pemimpin serta bapa kepada anaknya itu tidak harus takut untuk membuat penafian secara terbuka.
“Saya mewakili sebahagian rakyat mahu bertanya kepada Guan Eng tentang perkara ini. Rakyat mahu tahu perkara yang sebenar. Mengapa Guan Eng tidak mahu membuat penafian? Mengapa pula suruh orang lain menjadi wakilnya?
“Guan Eng sebagai seorang pemimpin dan bapa wajar mengambil tanggungjawab membuat penafian tersebut tanpa melibatkan orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 19 Oktober lalu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menafikan dakwaan yang mengaitkan anak lelaki Guan Eng yang juga cucu kepada bekas Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dengan kejadian mencabul seorang gadis bawah umur.
Gadis itu kata Pua, tidak mempunyai kaitan dengan Pulau Pinang atau pernah menjalin hubungan dengan anak Guan Eng kerana gadis terbabit kini sedang melanjut pengajian di sebuah kolej di Amerika Syarikat (AS).
Dakwaan mengenai kejadian cabul itu mula panas apabila beberapa blog antaranya http://www.papagomo.com, http://novandri.blogspot.com dan http://medan-info-kita.blogspot.com mendakwa, kepimpinan DAP cuba menutup satu kes cabul membabit anak pemimpin parti tersebut.
Menyentuh isu sama, Hasan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, selain itu Guan Eng perlu membuat laporan polis atas kedudukannya sebagai seorang bapa bagi menyiasat dakwaan itu, sekiranya ia tidak benar.
Katanya, melalui laporan tersebut, polis boleh melakukan siasatan sama ada dakwaan berkenaan adalah benar atau sebaliknya.
“Seperti yang saya sebutkan tadi Guan Eng tidak harus takut. Jika dakwaan itu tidak berasas Guan Eng tidak perlu ragu-ragu untuk tampil membuat penafian secara terbuka dan kemudian membuat satu laporan polis.
“Moga-moga dengan dua langkah ini ia dapat menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadap anak Guan Eng tersebut,” katanya.:- Laksamana Jebat
0 comments:
Post a Comment