Sambil menyifatkan kenyataan Guan Eng itu sebagai biadab, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman menegaskan, tuduhan tersebut amat keterlaluan malah dibuat tanpa menyatakan sebarang bukti.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menghantar notis tujuh hari meminta Guan Eng menyatakan bukti berhubung kenyataan tersebut atau tampil meminta maaf secara terbuka jika gagal berbuat demikian.
‘‘Bagi saya, kenyataan ini sangat biadab dan tidak bertanggungjawab. Sebagai Ketua Menteri, beliau (Guan Eng) sepatutnya malu kerana membuat tuduhan cukup berat tanpa menyatakan sebarang bukti,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang dipetik beberapa blog dan portal berita bahawa UMNO menjadi punca berlakunya ketegangan agama di Pulau Pinang sehingga membawa kepada kejadian membakar Pejabat DAP negeri di Jalan Talipon awal pagi ini.
Guan Eng dipetik portal pembangkang, The Malaysian Insider sebagai berkata: ‘‘Kami merasakan bahawa ini adalah sebahagian serangan orang UMNO berhubung isu bacaan al-Quran”.
Guan Eng merujuk kontroversi larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum solat subuh oleh Jawatankuasa Fatwa negeri.
Zainal Abidin bagaimanapun menegaskan, kenyataan Guan Eng itu amat bahaya kerana cuba meniup api kebencian dalam kalangan orang bukan Islam terhadap UMNO di Pulau Pinang.
‘‘UMNO negeri mengutuk perbuatan tersebut (membakar Pejabat DAP negeri) tetapi kenyataan menuduh UMNO sebagai dalang adalah tidak berasas sama sekali.
‘‘Api yang membakar pejabat tersebut mungkin tidak terlalu marak tetapi kenyataan Guan Eng itu sebenarnya memarakkan api kebencian khususnya orang Cina untuk membenci UMNO yang digambarkan sebagai dalang dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau menambah, kes tersebut merupakan kes jenayah dan tidak sepatutnya dipolitikkan dengan mencetuskan sentimen perkauman untuk menimbulkan kebencian sesuatu kaum kepada kaum yang lain.
‘‘Kita sedang meneliti beberapa laporan mengenai kenyataan tersebut, Guan Eng perlu mengemukakan bukti dan jika beliau gagal, kita akan bawa perkara ini ke mahkamah,” tegas beliau. UM
1 comments:
kan aku dah cakap.. ini trick lama la.. malai lembus je percaya cakap dia ni.. PKR dan PAS la lembu2 cina zionist ni... masih tidur lagi ka?
Post a Comment