Kebiasaannya, siasatan dan penahanan polis terhadap seseorang individu adalah berasaskan tiga faktor iaitu jenayah yang dilakukan, perbuatan yang dianggap mengancam keselamatan negara dan aduan atau laporan yang dibuat oleh orang awam. Dalam kes gambar Perdana Menteri dipijak, siasatan dan penahanan yang dilakukan adalah berdasarkan laporan yang dibuat oleh orang awam yang tidak senang dengan kejadian itu, apatah lagi ianya berlaku di malam sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-55. Beberapa laporan polis telah dibuat beberapa hari selepas insiden ini berlaku . Laporan ini memberi ruang kepada polis untuk membuka kertas siasatan dan menahan individu-individu yang terlibat di bawah Akta Hasutan.
Menurut Akta Hasutan 1948, sesuatu kecenderungan menghasut ialah kecenderungan ;
(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(b) bagi membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana Kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang di dalam wilayah Raja itu atau wilayah yang diperintah oleh Kerajaan itu;
(c) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana Negeri;
(d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri;
(e) bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk
yang berlainan di Malaysia; atau
(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.
Sekiranya Akta Hasutan ini dijalankan dengan tegas, maka akan ada terlalu ramai individu yang akan ditahan, terutama dari kalangan pemimpin-pemimpin dan juga pengiat politik baik dari sebelah kerajaan memerintah itu sendiri atau dari pihak pembangkang. Apabila dilihat pada senario hari ini, kewujudan internet itu sendiri mengalakkan kecenderungan menghasut seperti yang dinyatakan di atas. Ini dapat dilihat di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, ruangan forum internet dan juga di blog-blog. Polis tidak dapat menahan kesemua mereka ini kerana jumlah yang terlalu ramai . Selain itu, akan wujud pula suara-suara sumbang yang mempersoalkan tindakan polis sekiranya langkah tegas diambil pada mana-mana individu yang mempunyai kecenderungan menghasut atas nama hak asasi manusia. Oleh itu, adalah lebih baik polis memberi keutamaan untuk tugas-tugas yang hakiki iaitu mencegah jenayah serta menjaga keselamatan rakyat dan negara. Polis akan hanya bertindak sekiranya terdapat aduan atau laporan yang dibuat orang ramai demi kepentingan umum.
Insiden penghinaan keatas pemimpin-pemimpin politik bukanlah perkara yang baru dalam senario politik Malaysia . Kedua-dua belah pihak sama ada dari penyokong kerajaan atau pembangkang telah melakukan perkara yang hampir sama berulang kali. Beberapa insiden lain yang boleh dikatakan 'menghina' pemimpin politik kerajaaan sebelum ini juga tidak diambil tindakan oleh polis ke atas pelaku contohnya kes Adam Adli menurunkan bendera Presiden UMNO , Datuk Seri Najib di PWTC . Mengalungkan bunga ke atas gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan Menteri Pelajaran, Khaled Nordin mirip upacara kematian dan berarak dengan gambar itu yang kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah. Paling menarik aksi menghina gambar juga pernah dilakukan oleh pemimpin tertinggi parti politik sendiri misalnya tindakan Lim Kit Siang memijak gambar ahli parlimen dan Lim Guan Eng pula melangkah gambar ahli parlimen berkenaan. Namun tiada tindakan atau penahanan yang dibuat oleh polis ke atas pelaku.
Kupasan di atas mungkin boleh menjawab persoalan yang ditimbulkan, iaitu polis hanya mengambil tindakan menggunakan Akta Hasutan selepas laporan dibuat mengenai insiden gambar Perdana Menteri yang dipijak pada malam sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ke-55. Laporan yang dibuat juga selari dengan takrif 'kencenderungan menghasut' seperti yang dinyatakan dalam Akta Hasutan, 1948 . Kapasiti Perdana Menteri sebagai ketua negara juga perlu diambil kira kerana tindakan sedemikian memberikan persepsi buruk Malaysia kepada negara-negara lain seolah-olah majoriti rakyat benci dengan pentadbiran yang ada sekarang sedangkan hakikatnya ramai lagi yang tidak menyertai dan tak bersetuju dengan protes yang dianjurkan pada malam itu.
Penahanan mereka yang terlibat semalaman di lokap untuk soal siasat mungkin menjadi sensasi disebabkan ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia . Polis mungkin juga melakukan penahanan dan soal siasat untuk kumpulan-kumpulan yang melakukan provokasi yang hampir serupa kepada pemimpin-pemimpin pembangkang apabila ada laporan atau aduan yang dibuat, namun tindakan polis ini mungkin tidak mendapat pendedahan media. Tindakan memijak gambar mana-mana pemimpin samada kerajaan atau pembangkang sepatutnya tidak berlaku pada bila-bila masa apatah lagi pada ulang tahun kemerdekaan negara .Ulang tahun kemerdekaan negara seharusnya menjadi hari rakyat negara ini bersatu padu tanpa mengira fahaman politik. Semangat patriotisme dan sayangkan negara sepatutnya menjadi titik penyatuan disebalik pandangan yang berbeza . KLPOS
0 comments:
Post a Comment