UTUSAN: Apa pandangan Datuk berhubung tugas baru Misbun?
ZOLKPLES: Kita harus melihat perkara ini dengan positif dan kita harap Misbun menerima tawaran tersebut kerana kepakaran beliau masih diperlukan oleh negara.
Saya juga percaya BAM telah menentukan yang terbaik buat Misbun, malah pemilihan itu juga dibuat hasil perbincangan teliti melalui pendapat ramai dan barangkali termasuk pandangan daripada Tey Seu Bock, Rashid Sidek atau Datuk Lee Chong Wei sendiri.
Langkah BAM menawarkan Misbun untuk melatih skuad pelapis adalah satu yang baik kerana kepakaran beliau amat berguna untuk melahirkan ramai jaguh badminton negara dan saya juga berharap Misbun dapat menerima tanggungjawab tersebut.
Adakah Datuk yakin seorang lagi Chong Wei mampu dilahirkan?
Saya percaya kalau kita gabungkan semua aspek kepakaran, sudah tentu seorang pemain bertaraf dunia mampu dilahirkan.
Paling penting kini adalah bakat yang ada pada pemain itu sendiri, kerana pada masa kini atlet pelapis kita semakin kebelakang. Sebagai contoh suatu ketika dahulu pemain pelapis kita Mohd. Arif Latif mampu menyaingi pemain pelapis China, Chen Long namun kini pemain muda China itu lebih menyerlah berbanding Arif.
Saya juga ada mencadangkan agar anak Misbun, Misbun Ramdan Misbun Sidek diletakkan di bawah bimbingan bapanya, agar pemain muda itu dapat memperoleh sentuhan bapanya sendiri. Ini mungkin boleh meningkatkan prestasi pemain berkenaan.
Bagaimana prestasi skuad pelapis ketika ini?
Mereka masih lagi jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun kini kita ada pemain pelapis seperti Arif, Misbun Ramdan dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang berpotensi untuk mencapai tahap dunia.
Bagi meningkatkan prestasi pemain pelapis ini, apa yang Misbun perlu dilakukan?
Kalau kita tengok dari sudut latihan, memang tidak ada kekurangan kerana badminton antara sukan yang menerima banyak bantuan bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga daripada swasta dan pihak-pihak lain.
Adalah penting pemain sendiri perlu percaya pada diri sendiri bahawa mereka mampu bersaing. Disiplin di kalangan pemain pelapis juga harus dipertingkatkan. Mereka perlu lebih serius dan selain itu pendedahan juga perlu lebih banyak diberikan kepada pemain pelapis yang berpotensi untuk melangkah jauh. Jangkaan Datuk berapa lama kita dapat melahirkan pemain seperti Chong Wei?
Pada pandangan saya mungkin dalam tempoh dua tahun kita mampu lahirkan pemain sehebat Chong Wei melalui sentuhan Misbun dan jurulatih lain yang ada.
Dahulu kita mempunyai ramai pemain perseorangan namun kurang pemain beregu bagaimanapun kini keadaan itu seolah-olah terbalik. Harapan saya sewajarnya masalah itu mampu diatasi.
0 comments:
Post a Comment