Sikap bongkak dan perilaku taksub pada parti yang ditonjolkan oleh penyokong dan pemimpin PAS dalam banyak hal membabitkan kepentingan ummah seakan sudah satu lumrah berkemungkinan berkait rapat dengan asal usul penubuhan PAS itu sendiri yang lahir dari perasaan dendam dan irihati.
Lanjutan dari itu menyebabkan ramai penyokong PAS mahupun pemimpin mereka sentiasa berusaha mencari alasan untuk memperlihatkan pendirian mereka dalam sesatu isu adalah betul dan tidak pernah silap, manakala apa sahaja yang diusahakan oleh UMNO akan cuba dipropagandakan sebagai salah dan tidak pernah betul di mata mereka.
Pada mereka, hanya PAS sahaja yang layak diiktiraf sebagai pejuang Islam sedangkan orang-orang Islam yang mendukung perjuangan UMNO dianggap sebagai telah lari dari landasan Islam sekaligus dihukum sebagai kafir dan hanya neraka jahanam sahajalah tempat yang sesuai untuk orang Islam yang menentang PAS.
Bila sahaja UMNO tampil dengan pelbagai program pembangunan Islam misalnya penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Tabung Haji, membina masjid-masjid dan surau misalnya, tidak bertangguh lagi PAS segera menggerakkan jenteranya bertujuan memperlekehkan segala daya usaha tersebut sebagai kononnya tiada nilai di sisi Allah s.w.t.
Di awal penubuhan Tabung Haji, Bank Islam dan UIA, tidak sedikit kata nista dan tuduhan jahat dilemparkan konon semuanya itu sekadar wayang oleh pihak Kerajaan Pusat pimpinan BN untuk menarik sokongan umat Islam yang di dakwa semakin telah beralih arah kepada PAS.
Tidak cukup dengan tuduhan tersebut, ada pula yang lancang mulutnya menghukum sesiapa sahaja yang mengerjakan haji dengan menggunakan khidmat Tabung Haji maka ibadah hajinya tidak sah dan perlu dilaksanakan sekali lagi.
Sedangkan sejak Tabung Haji beroperasi secara rasmi pada 1963, badan tersebutlah yang paling banyak berjasa membantu umat Islam merencanakan wang tabungan mereka, membantu menguruskan perjalanan dan penginapan sehinggalah selesai terlaksana ibadah haji di Kota Suci Mekah.
Malah kini, tiada siapa pun dapat menafikan hampir di segenap pejabat Tabung Haji di seluruh negara pastinya mudah untuk kita bersua muka dengan penyokong PAS yang mencari rezeki di Tabung Haji tanpa sedikitpun rasa segan atau malu pada kata dusta dan tuduhan yang pernah pemimpin mereka lemparkan dulu.
Jika benar penubuhan Tabung Haji itu hanyalah wayang atau haram berurusan dengannya, apa perlu lagi untuk penyokong PAS menumpang rezeki di sana? Atau sebenarnya segala tuduhan sebelum ini hakikatnya hanyalah omong kosong politik kepartian dek kerana benci dan iri hati dengan kebijaksanaan pemimpin UMNO dalam menguruskan hal ehwal kemaslahatan umat.
Demikian juga bila Bank Islam dan UIA ditubuhkan, bukan sedikit propaganda dimainkan oleh pemimpin PAS cuba menghasut umat supaya meyakini kedua-duanya itu hanyalah 'senjata politik baru' UMNO untuk melemahkan pengaruh PAS.
Dalam pada hasutan terus dilaksanakan, tak semena-mena bila PAS mengambilalih Kelantan pada 1990, boleh pula MBnya membuat keputusan menyimpan wang kantung negeri tersebut dalam Bank Islam. Malah dengan bangga pula Nik Aziz mengumumkan kononnya Kelantan adalah satu-satunya negeri yang menyimpan dan berurusan dengan Bank Islam.
Pelik bukan? Sekian lama sebelumnya penubuhan Bank Islam diperlekehkan hanya kerana ia hasil usaha pemimpin UMNO, selang bertahun kemudiannya PAS berbangga pula dapat berurusan dengan 'senjata politik baru' UMNO.
Inilah tabiat kebiasaan PAS yang agak terserlah sekian lama, malu untuk mengakui jasa bakti UMNO dalam membangunkan umat Islam dan meningkatkan imej agama, tapi di masa yang sama kerana wujudnya sikap taksub pada parti sendiri telah menghalang pemimpin PAS untuk memberi pengiktirafan sewajarnya.
Begitu juga bila UIA mula beroperasi, ramai pemimpin PAS mendakwa penubuhannya semata-mata untuk meningkatkan imej Islamik UMNO. Saban tahun berlalu selepas itu, universiti tersebutlah yang banyak menghasilkan produk anak muda yang pro PAS malah ada kalangan pemimpin PAS sekarang pun datangnya dari universiti itu.
Masjid dan surau pula yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan hasil keprihatinan UMNO terhadap amal ibadat umat Islam juga dipandang sepi oleh pemimpin dan penyokong PAS.
Dalam pada itu, disebabkan taksub pada semangat kepartian, boleh pula PAS menumpukan usaha khusus untuk mengambil alih jawatankuasa sesebuah masjid dan surau untuk keperluan melebarkan pengaruhnya melalui program keagamaan di Rumah Allah itu.
Untuk kepentingan politik PAS tidak segan menyeleweng hasil usaha UMNO yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan umat. Mereka hanya tahu mengomel kata dusta mempertikaikan segala usaha UMNO, tapi bila tiba masanya mereka jugalah yang paling ke depan menyalahgunakan kemudahan tersebut.
Segalanya ini membuktikan PAS bukanlah sebuah parti Islam sebagaimana kerap dipropagandakan oleh pemimpin mereka. PAS hanyalah sebuah parti politik yang memperalatkan Islam demi manfaat peribadi, puak dan parti.
PAS gagal melihat realiti dengan mata hati akan hakikat dirinya yang sebenar. Ketaksuban pada parti menyebabkan PAS dibutakan mata hati hingga gagal melihat kenyataan yang sejak lebih 60 tahun usia PAS, hanya air liur dan kecelaruan fikiran sahaja yang dapat disumbangkan olehnya kepada umat dan negara.
1 comments:
Buat Jalan raya high way.....gotong royong guna cangkul atau kutip dana hasil sumbang rakyat.
Post a Comment