Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dilihat tidak amanah dan bertanggungjawab apabila gagal mengeluarkan sebarang kenyataan khusus mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan Selangor supaya menyatakan secara jelas sama ada benar terdapat usaha untuk memurtadkan penganut Islam di negeri tersebut sehingga membawa kepada pemeriksaan JAIS ke gereja berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, penjelasan kerajaan PKR Selangor mengenai insiden itu perlu dikeluarkan segera dalam usaha mengurangkan ketegangan antara penganut Islam dan Kristian di negara ini berikutan kejadian itu.
"Kerajaan negeri Selangor harus tampil ke hadapan untuk memberi penjelasan berhubung insiden pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama tanpa berdolak-dalik lagi.
"Sekiranya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nak tangguh dan sorok perkara ini daripada rakyat maka lebih baik beliau meletak jawatan sebab tidak layak lagi memegang jawatan Menteri Besar," katanya dalam blognya di http://www.rembau.net.my/.
Beliau mengulas isu pemeriksaan oleh JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan menjalankan kegiatan menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam, 3 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, kerajaan PKR Selangor perlu lebih serius menangani isu tersebut kerana dakwaan bahawa wujud cubaan untuk memurtadkan penganut agama Islam di gereja tersebut adalah suatu yang berat.
Beliau dalam pada itu berkata, Pemuda UMNO amat serius memantau isu murtad atau pertukaran agama.
"Bagi kami, tiada sebarang kompromi di dalam perkara yang melibatkan aspek akidah," katanya. DARI UM
0 comments:
Post a Comment