AIDCNews – 28/09/11 – YB Datuk Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen bebas Bandar Baru Kulim berkata kebiasaannya Orang Kena Tuduh (OKT) yang diputuskan supaya membela diri dan dipilih pembelaan dari “kandang tertuduh” bermakna OKT itu tidak mempunyai keberanian untuk berdepan dengan soalan balas daripada pihak pendakwa ataupun mahu melindungi sesuatu supaya tidak terbongkar lebih banyak lagi di mahkamah.
“Contoh dalam kes ini, Anwar mungkin tak boleh nak menjawab bukti, macam mana kesan air mani dia (boleh) ada dalam dubur Saiful. Apakah Saiful yang hanya seorang “pembancuh kopi” di pejabatnya boleh berada di kondominium tersebut?
“Juga mengapa dia membawa Saiful keluar negara, seperti ke Hong Kong, Bangkok dan Singapura, apa (sebenarnya) pekerjaan Saiful ?
“Eh, banyak benda (yang) Anwar nak kena jawab dan perjelaskan, jadi ringkas cerita, tak payah angkat sumpah (semasa) bagi keterangan (iaitu beri keterangan dari kandang tertuduh)”, katanya dalam blognya, zul4kulim.blogspot.com.
Menurutnya, dalam prosedur mahkamah, sebelum hakim memutuskan supaya OKT membela diri atau tidak, pihak pendakwa terlebih dahaulu mempunyai beban untuk membuktikan kes melalui keterangan lisan dan bukan lisan
Katanya, dalam kes liwat II, pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes bahawa terdapat asas, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan seks luar tabie dengan pekerjanya, Mohd Saiful Bukhari Azlan berdasarkan faktor utama, penemuan air mani lelaki Y yakni Anwar Ibrahim di dalam lubang dubur pengadu.
Berasaskan faktor ini, katanya, Anwar diperintahkan mahkamah untuk membela diri.
Zulkifli yang juga bekas salah seorang peguambela kes liwat I Anwar berkata pada peringkat ini OKT yakni Anwar mempunyai tiga pilihan dalam proses membela diri.
Pilihan pertama, membela diri dari “kandang saksi“, di mana OKT itu disyaratkan bersumpah sebelum memberi keterangan, keterangannya boleh dicabar oleh Pendakwaraya dengan cara soal-balas.
OKT itu juga berhak membawa keterangan lain sama ada lisan dan bukan lisan untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
Pilihan kedua, membela dari “kandang tertuduh“, di mana OKT itu, tidak perlu bersumpah sebelum memberi keterangannya.
OKT yang memilih kaedah ini hanya perlu membaca kenyataan daripada “kandang tertuduh” di mana kenyataan yang dibaca itu tidak boleh dicabar atau disoal balas oleh pendakwaraya atau mahkamah.
Manakala pilihan ketiga adalah memilih untuk “berdiam diri“, di mana jika itu pilihan OKT, maka mahkamah akan mensabitkannya dengan pertuduhan serta memberi hukuman yang setimpal kepadanya.
Daripada ketiga-tiga pilihan di atas membela diri dari “kandang saksi” adalah paling kredibel.
Menurutnya, pemilihan Anwar membela diri dari kandang tertuduh bermaksud beliau menolak untuk bersumpah dan menolak untuk disoal balas oleh pihak pendakwa.
Dalam erti kata lain, Anwar boleh bercakap apa sahaja, termasuk boleh berbohong, kerana beliau tidak terikat dengan etika sumpah mahkamah.
“Kerana ia tidak dibuat melalui sumpah, OKT langsung tidak boleh disoal balas oleh Pendakwaraya atau disoal oleh mahkamah.
“Kalau bahasa kasarnya, OKT sekadar baca kenyataan syok sendiri. Perumpamaannya macam burung kakak tua bercakap, atau lebih canggih lagi, macam pasang CD saja dalam mahkamah.
“Hakim tidak akan mencatat sebutir apa pun yang dicakapkan oleh OKT sebab tiada nilai perundangan”, katanya.