Mendedahkan perkara tersebut Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, itu adalah taktik terbaru yang dirancang oleh pakatan pembangkang untuk meraih simpati rakyat.
“Perkara ini telah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat dan mereka juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Perdana Menteri yang dianggotai oleh semua pemimpin tertinggi dari DAP, Pas dan PKR.
“Taktik baru ini mereka tonjolkan seolah-olah mereka sudah yakin Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapa Nurul Izzah akan didapati bersalah dalam perbicaraan kes liwat yang akan diputuskan pada 9 Januari ini.
“Dengan mencalonkan Nurul Izzah, pembangkang yakin rakyat terutama golongan muda pasti akan simpati terhadap bapanya yang kini menghadapi kes liwat,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis perjumpaan Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Tabika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Yayasan Melaka hari ini.
Mengulas lanjut Zulkifli berkata, pemimpin pembangkang melihat penampilan Anwar yang dikaitkan dengan kes liwat tidak memungkinkan mereka untuk meraih sokongan rakyat seterusnya memenangi pilihan raya kali ini.
“Saya diberitahu pemimpin tertinggi pembangkang tidak bersetuju untuk menyandarkan harapan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail begitu juga Timbalan Presiden, Azmin Ali,” ujarnya.
Justeru katanya, pemilihan Nurul Izzah dilihat adalah pilihan tepat untuk meraih simpati rakyat bagi memastikan pembangkang menang pada pilihan raya nanti. Utusan